KELAB PENYOKONG PARTI HAIRAN METRO

16 July, 2010

UMNO DAN PAS PERLU DUDUK SEMEJA

PUTRAJAYA 14 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha UMNO untuk menjalin kerjasama dengan Pas tidak akan menjadi kenyataan selagi kedua-dua pihak tidak duduk semeja untuk membincangkannya secara serius.

Menurutnya, Pas perlu mengetepikan kepentingan politik jika mahu duduk berbincang dengan UMNO dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.


 

''Kalau tak duduk semeja, hanya memikirkan politik, hanya memikirkan diri sendiri, hanya memikirkan bagaimana ia dapat mengeruhkan keadaan, hanya memikirkan bagaimana untuk menambah kebencian dan hanya untuk melaga-lagakan kita sesama kita selagi itulah tidak akan jadi kenyataan.

''Jangan jadikan itu sebagai pertimbangan, tenaga kita dah hancur lama dah, tetapi ia mesti sampai ke tahap kesedaran pihak yang berkepentingan untuk menyatakan cukup-cukuplah (bertelagah), mari kita duduk berbincang dan tengok macam mana," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Anugerah Liga Balai di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju bahawa UMNO dan Pas perlu bersatu dalam memperjuangkan agama Islam di negara ini.

Nik Abdul Aziz dipetik sebagai berkata, perjuangan beliau bersama Pas selama ini memang untuk menyatukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini daripada mempercayai perkara yang tidak betul.

Justeru, tegas Hishammuddin, jika ingin bercakap soal penggabungan antara UMNO dan Pas, perkara itu tidak mungkin berlaku selagi Pas takut pada bayang-bayang sendiri.

''Saya rasa tak ada (penggabungan) seandainya nak duduk semeja pun tak jadi, inikan pula bercakap mengenainya," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap Nik Abdul Aziz akan mengeluarkan kenyataan yang menjurus ke arah perkara yang boleh memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

No comments:

Post a Comment